PERATURAN KHUSUS KOLEJ MATRIKULASI PERAK (UNTUK MAKLUMAN IBU BAPA / PENJAGA DAN PELAJAR)

Peraturan ini hanya sebahagian kecil peraturan kolej yang merupakan peraturan khusus Kolej Matrikulasi Perak daripada peraturan keseluruhan Kolej-kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran berdasarkan buku Peraturan Pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia sesi 2008/2009.

A. SISTEM CUTI BALIK BERMALAM

 

1.                Kelulusan balik bermalam yang melibatkan waktu kuliah dan aktiviti rasmi kolej (selain dari masa yang ditetapkan) hanya daripada Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar atau mana-mana pegawai Hal Ehwal Pelajar.

 

2.                Kelulusan balik bermalam untuk kes kecemasan selepas waktu pejabat hanya daripada felo (warden) sahaja.

 

3.                Ibubapa / penjaga tidak dibenarkan mengambil pelajar untuk dibawa balik bermalam tanpa melalui prosedur yang telah ditetapkan.

 

4.                Pelajar perlu menyerahkan kad matrik di pondok pengawal untuk di ”scan” sebelum keluar dan apabila balik ke kolej.

 

5.                Pelajar tidak dibenarkan balik bermalam jika kolej menganjurkan sebarang aktiviti rasmi (kecuali mendapat kebenaran bertulis dari Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar atau mana-mana pegawai Hal Ehwal Pelajar atau mana-mana felo).

B. SISTEM KELUAR KE BANDAR (OUTING) HUJUNG MINGGU

1.                Pelajar hanya dibenarkan outing pada hujung minggu iaitu hari Jumaat selepas kuliah, Sabtu dan Ahad (mulai 8.00 pagi hingga 7.00 malam).

 

2.                Pelajar perlu menyerahkan kad matrik di pondok pengawal untuk di “scan” sebelum keluar dan apabila balik ke Kolej.

 

3.                  Kelulusan (secara bertulis atau on line) dari fello blok berkenaan diperlukan bagi kes outing kecemasan selepas jam 7.00 malam.

 

4.                  Pelajar tidak dibenarkan keluar jika kolej menganjurkan sebarang aktiviti rasmi (kecuali mendapat kebenaran dari Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar atau mana pegawai Hal Ehwal Pelajar atau mana-mana felo).

C. BALIK BERCUTI YANG DITENTUKAN OLEH KOLEJ / CUTI ANTARA SEMESTER / CUTI PERTENGAHAN SEMESTER

1.                Semua pelajar dikehendaki balik / meninggalkan kawasan kolej untuk

cuti-cuti yang ditentukan oleh kolej, cuti antara semester dan cuti pertengahan semester.

 

2.                Pelajar hanya dilepaskan balik bercuti pada hari terakhir kuliah sebelum cuti. Sebarang alasan untuk balik bercuti awal tidak akan dilayan

D. PENAMPILAN DIRI PELAJAR

1.                   Pelajar diwajibkan memakai pakaian kuliah yang lengkap sepanjang masa ketika waktu kuliah, berurusan dengan pentadbir / pensyarah / lawatan rasmi. Pakaian kuliah bagi pelajar lelaki adalah baju kemeja tanpa corak dan berseluar panjang (seluar jeans tidak dibenarkan), memakai tali leher, memakai stoking dan berkasut warna gelap. Pakaian kuliah bagi pelajar perempuan adalah pakaian yang sopan, (berbaju kurung / blouse longgar yang dipadankan dengan seluar panjang / skirt labuh di bawah paras lutut) dan berkasut yang sesuai.

 

2.                Pelajar dikehendaki pada setiap masa membawa dan mempamerkan kad pelajar semasa berada di dalam kolej.

 

3.                   Pakaian bagi outing atau balik bermalam bagi pelajar perempuan adalah sama seperti pakaian kuliah manakala pelajar lelaki dibenarkan memakai kemeja-t berkolar.

 

4.                  Semua pelajar dilarang memakai pakaian yang tidak sopan dan menjolok mata.

 

5.                Pelajar hendaklah sentiasa berambut kemas dan rapi. Pelajar lelaki tidak dibenarkan berambut panjang. Mewarnakan rambut adalah dilarang.

E. SISTEM KAWALAN KELUAR MASUK KAWASAN KOLEJ

1.                Semua urusan keluar / masuk kawasan kolej oleh pelajar dan ibubapa / penjaga hanya melalui pintu utama kolej.

 

2.                  Ibubapa / penjaga yang hendak masuk atau keluar kawasan kolej dikehendaki berhenti untuk pemeriksaan pengawal keselamatan di pintu masuk kolej. Nombor kenderaan ibubapa / penjaga yang engkar atau tidak menghormati tugas pengawal keselamatan akan disenarai hitamkan dan dilarang sama sekali memasuki kawasan kolej pada masa yang lain.

 

3.                  Ibu bapa / penjaga yang hendak masuk ke kawasan kolej untuk menemui / berurusan dengan pelajar dikehendaki meninggalkan kad pengenalan di pondok pengawal dan memakai pas pelawat sepanjang berada di dalam kawasan kolej.

F. SISTEM LAWATAN IBUBAPA / PENJAGA

1.                Hari lawatan biasa bagi ibubapa / penjaga ialah pada hari Sabtu, Ahad dan Cuti Umum, mulai pukul 8.00 pagi hingga 7.00 malam.

 

2.                  Ibubapa / penjaga yang membawa anak keluar pada hari lawatan perlu menghantar semula anak-anak ke asrama  tidak lewat dari jam 7.00 malam.

 

3.                  Selepas jam 7.00 malam, kenderaan ibu bapa tidak dibenarkan masuk ke kawasan kolej.

G. KAFETERIA

1.                Semua pelajar dikehendaki makan dan minum di kafeteria yang telah disediakan.

 

2.                  Para pelajar boleh menggunakan mana-mana kafeteria dan kantin pada waktu siang sehingga selewat-lewatnya pukul 9.00 malam. Selepas 9.00 malam, kawasan Kafeteria A adalah kawasan larangan bagi pelajar perempuan manakala Kafeteria B, C dan kantin adalah kawasan larangan bagi pelajar lelaki.

H. BARANGAN DAN TINGKAH LAKU TERLARANG

1.                  Semua pelajar dilarang sama sekali membawa dan menggunakan segala jenis peralatan elektrik seperti televisyen, perakam pita video, peti sejuk, cerek elektrik, pemanas air, periuk nasi dan lain-lain alatan yang menggunakan sumber elektrik kolej selain daripada yang disediakan oleh kolej kecuali alat pencegah nyamuk, pengecas bateri untuk kegunaan radio kaset kecil, jam loceng dan telefon bimbit.

 

2.                Penyalahgunaan dadah, memiliki atau mengedar ganja, membawa atau menyimpan senjata berbahaya, membawa atau menyimpan bahan letupan, menganggotai kumpulan haram / kongsi gelap, mencabul kehormatan, melawan / mengancam / memukul / mencederakan pensyarah atau pelajar lain, memeras ugut, membuli, berkhalwat, menceroboh bilik khas / makmal / kedai koperasi / pejabat kolej atau asrama / rumah warden, menunjuk perasaan / mengganggu ketenteraman awam, keluar dari kolej tanpa kebenaran, mencuri, berjudi dan bertaruh merupakan kesalahan berat yang akan dilaporkan kepada pihak polis, digantung pengajian atau diberhentikan daripada program matrikulasi.

I. LARANGAN MEROKOK

Seluruh kawasan kolej adalah kawasan larangan merokok.

Arahan:

 

PENGARAH

KOLEJ MATRIKULASI PERAK

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA